Mesej yang disampaikan oleh Grab Malaysia melalui Twitter.

KUALA LUMPUR – Grab Malaysia mengambil langkah drastik apabila membuang seorang pemandunya yang bertindak menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap dua penumpang dari China, baru-baru ini.

Menerusi Twitter, Grab Malaysia memberitahu, pemandu lelaki terbabit yang videonya tular di laman sosial selepas mempersendakan dua pelancong China berkenaan telah dikeluarkan daripada sistem perkhidmatan mereka.

“Terima kasih kerana berkongsi dengan kami. Untuk makluman, kami telah mengambil tindakan terhadap pemandu terbabit dan beliau disingkirkan secara kekal daripada platform kami. Terima kasih,” kata syarikat perkhidmatan pengangkutan itu.

Sebelum ini, tular di laman sosial apabila seorang pemuda yang merupakan pemandu GrabCar menghina dua penumpang warga China dengan menggelarkan mereka sebagai bodoh',bengal’, lahanat’ dan `musibat.

Tindakan lelaki itu mengundang kemarahan rakyat Malaysia yang disifatkan telah mencemarkan imej negara. – MalaysiaGazette