Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Dakwaan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar bahawa kerajaan negeri Selangor tidak mengambil berat tentang pangsapuri-pangsapuri di kawasan Dewan Negeri Chempaka adalah tidak berasas, kata exco Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.

Iskandar yang juga ADUN Chempaka berkata, kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor ketika membuat meninjau sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka hanyalah sekadar untuk mencari publisiti murah sahaja.

“Dakwaan (Noh Omar) itu nyata tidak berasas kerana Kerajaan Negeri telah banyak membelanjakan peruntukan dan merancang untuk kemudahan penduduk di Chempaka terutamanya di pangsapuri-pangsapuri kos rendah.

“Untuk makluman, sehingga hari ini, Kerajaan Negeri telah menawarkan peruntukan RM2.7 juta kepada 9 kawasan pangsapuri untuk dibaikpulih di bawah Skim Baik pulih Negeri Berkebajikan atau CERIA. 90 peratus dari kerja-kerja itu telah siap dan sudah dapat dinikmati oleh penduduk,” jelas Iskandar dalam satu kenyataan.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor berkata demikian mengulas kenyataan Noh semalam bahawa beliau gagal menjaga kawasan yang dimenanginya sebelum ini.

“Bumbung bocor teruk dan tak ada pembelaan, cat yang sudah 20 tahun tidak dicat, pam air dari enam tinggal tiga.

“Dan satu saja Iskandar bagi selepas itu dah tak datang dah,” kata Noh semalam ketika meninjau sekitar kawasan Angsana Hilir.

Mengulas mengenai itu, Iskandar berkata kerajaan negeri juga telah membelanjakan RM792,000 melalui skim baikpulih jalan di pangsapuri-pangsapuri kos rendah.

Ia melibatkan tiga kawasan pangsapuri kos rendah di dalam kawasan Chempaka antaranya pangsapuri Taman Cahaya Indah, rumah pangsa 610 Pandan Indah, dan pangsapuri Seri Cahaya.

“Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama yang dilawati oleh Menteri telah dipilih untuk program SMART LIFE.

“Tetapi memandangkan Kerajaan Persekutuan akan membaikpulih lif-lif di situ maka kawasan pangsapuri lain akan dipilih untuk menggantikan Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama,” katanya mejelaskan keadaan.