KUALA LUMPUR – Semua syarikat-syarikat air negeri telah diarahkan membuat persiapan
bagi menghadapi bekalan air secukupnya semasa Hari Raya Aidilfitri.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, setiap kali Hari Raya Aidil Fitri, warga kota akan pulang ke kampung halaman dan ini akan menyebabkan permintaan bekalan air akan meningkat dengan mendadak dan sehingga lima hingga enam kali ganda dari kebiasaan.

Menurutnya, sistem bekalan air seperti loji rawatan air, paip dan tangki agihan di kawasan-
kawasan yang dikenal pasti memang tidak direka bentuk untuk memenuhi permintaan
tinggi yang berlaku sekitar dua minggu dalam setahun.

Oleh yang demikian, kekurangan bekalan air dijangkakan di kawasan luar bandar yang boleh menyebabkan gangguan atau tekanan rendah semasa Hari Raya.

“Sehubungan itu, beberapa syarikat air negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan yang dijangka mengalami tekanan air rendah atau gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan akibat permintaan air yang meningkat.

“Kawasan-kawasan terlibat boleh disemak melalui laman sesawang syarikat air
di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini.

KETTHA dan SPAN berkata, antara langkah-langkah yang diambil oleh syarikat
air negeri bagi mengurangkan gangguan bekalan air adalah membuka bilik gerakan 24 jam di negeri masing-masing untuk memantau keadaan bekalan air sepanjang tempoh musim perayaan.

Memantau dengan lebih rapi semua paras empangan, sungai dan muka sauk loji serta paras air di tangki simpanan utama di sistem agihan sebagai langkah pro-aktif untuk mengelak atau mengurangkan gangguan.

Selain itu, meningkatkan pengeluaran loji-loji rawatan air di lokasi yang sesuai untuk memenuhi permintaan air yang meningkat dan menempatkan tangki-tangki statik di kawasan-kawasan kritikal yang telah dijangka menghadapi kekurangan bekalan air semasa waktu puncak.

Menghantar lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang menghadapi gangguan bekalan air sama ada terus ke premis pengguna atau tangki-tangki statik untuk diambil oleh pengguna, bersiap siaga dengan jentera, kenderaan, alat kelengkapan dan tenaga kerja bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan seberapa segera sekiranya berlaku kerosakan loji atau paip pecah.

Merancang kerja-kerja penyenggaraan lebih awal untuk mengelakkan waktu perayaan; dan
membuat hebahan kepada pengguna melalui Apps, laman web syarikat air atau lain-lain kaedah ke atas sebarang maklumat dan pengumuman berhubung dengan status bekalan air di kawasan tertentu.

Pada masa sama, para pengguna air juga disarankan menggunakan air secara berhemah dan jangan membazir dan menyimpan air dengan cukupnya sebelum tiba musim perayaan. – MalaysiaGazette