Shezri Salleh bersama isterinya, Fatimawati Sahar mengemaskan barangan rumah mereka berikutan bencana banjir yang melanda di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Penduduk sekitar Hulu Langat yang berdepan bencana alam banjir semalam tidak menyedari air naik begitu mendadak sekali.

Ketika hampir masuk waktu Maghrib, tiba-tiba air sudah naik sampai ke pintu depan rumah dan atas jalan raya sehingga menyebabkan ada keluarga yang tidak sempat berbuka puasa kerana kelam-kabut menyelamatkan barang masing-masing.

“Tidak ada amaran diberikan, ketika itu kami sekeluarga sedang menunggu berbuka puasa.

“Kami tidak jangka akan banjir besar begini, sebab selepas hujan berhenti sahaja tiba-tiba air naik dengan cepat dan ketika beberapa minit lagi nak berbuka puasa air sudah naik depan rumah paras buku lali dan sudah melimpah atas jalanraya,” kata Fatimawati Sahar, salah seorang penduduk di Sungai Serai, Batu 11 yang ditemui MalaysiaGazette petang tadi.

Akibat kelam-kabut menyelamatkan barangan berharga, dia sekeluarga bersama tiga orang anak dan anak saudaranya hanya sempat menjamah juadah pada 8.30 malam.

“Mana sempat berbuka, makan pun lepas pukuk 8.30 malam. Tak sempat makan, air naik masa waktu nak berbuka,” katanya.

Fatimawati berkata, kejadian itu mengulangi bencana yang sama berlaku pada tahun 2012 lalu apabila banjir besar melanda Hulu Langat di mana majoriti hampir semua penduduk dari Batu 13 hingga Batu 19 terjejas teruk.

Tiada amaran diberikan mengenai banjir, sama ada pengumuman daripada masjid atau pun pihak berkuasa dan secara tiba-tiba melihat air sudah melimpah naik.

“Tidak ada sesiapa yang datang buat pengumuman atau memberikan amaran mengenai air yang sedang naik laju, penduduk kebanyakan pun terkejut apabila sedar-sedar air sudah tinggi,” katanya.

Suami Fatimawati, Shezri Mohd Salleh pula kecewa apabila bencana kali ini berlaku menjelang seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan hampir semua barang persiapan baju raya anak-anaknya gagal diselamatkan apa lagi barangan asas seperti perabot, peti ais dan lain-lain semuanya ditenggelami air.

Temubual bersama Shezri Salleh, berkaitan banjir di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2017.

“Bukan sahaja baju raya, baju sekolah dan buku-buku sekolah juga ada yang tidak sempat diselamatkan. Ini yang agak meruntun di hati,” katanya.

Sementara itu, salah seorang ahli jawatankuasa masjid di Sungai Serai, Zaidi Harun yang ditemui memberitahu, kerugian dianggarkan dialami masjid sekitar RM60,000 di mana barang-barang seperti alat pembesar suara dan karpet dalam masjid yang berlumpur kerana air masuk ke dalam.

“Masjid baharu saja ditambah baik, sudah di landa banjir. Nak buat macam mana, dugaan Allah semasa Ramadan,” katanya semasa ditemui.

Zaidi berkata. ahli-ahli kariah masjid waktu itu sedang bersiap sedia menyediakan juadah berbuka di masjid tetapi secara tiba-tiba air naik dengan cepat dan melimpahi kawasan ruang depan masjid.

“Naik cepat, air waktu itu naik cepat. Masa jam 7 malam air sudah mula naik sikit tetapi kurang setengah jam daripada itu ia naik dengan cepat.

“Rata-rata penduduk panik, sebab tidak menyangka ia akan naik dengan cepat. Oleh sebab itu, ramai yang tidak sempat menyelamatkan barangan berharga mereka,” katanya lagi.

Temubual bersama Zaidi Harun, berkaitan banjir di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2017.

Menurut Zaidi, air naik sebanyak dua kali semalam iaitu pada jam 7 malam dan sekali lagi pada pukul 12 tengah malam di mana waktu itu kemuncak air mencecah paras dada.

Hanya pada 7 pagi penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir semakin surut. – MalaysiaGazetteHuhu