Laksamana Maritim Datuk Indera Zulkifli Abu Bakar. FotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA – Jumlah nilai rampasan yang direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membabitkan kes penyeludupan sejak 2007 hingga Februari tahun ini mencecah lebih RM67 juta.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata rampasan berkenaan melibatkan barangan seludup antaranya seperti rokok, minuman keras, diesel dan petrol.

“Rokok mencatatkan nilai rampasan paling tinggi iaitu pada tahun lepas sahaja mencecah sehingga RM6.3 juta,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata kegiatan penyeludupan ini dipandang serius dan pihaknya sentiasa mempertingkatkan kawalan dalam mengekang aktiviti yang merugikan negara ini.

“Kami sentiasa pantau di kawasan-kawasan panas berlakunya aktiviti penyeludupan misalnya di Selangor hingga Johor kerap berlaku penyeludupan rokok,” katanya

Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya juga akan menumpukan perhatian terhadap kes penyeludupan dadah yang berlaku di kawasan perairan negara.

Katanya, APMM akan memberi fokus di kawasan panas berlakunya penyeludupan barang terlarang berkenaan yang kerap berlaku di bahagian utara tanah air yang berhampiran dengan negara jiran.

Pada 4 Jun lepas, APMM merampas 629 kilogram dadah disyaki ganja bernilai RM1.8 juta dalam cubaan menyeludup bahan terlarang itu ke Pulau Langkawi, Kedah.

Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu, sekumpulan lelaki bertindak membuang beberapa bungkusan plastik besar yang mengandungi dadah berkenaan ke dalam laut sebelum disedari nelayan tempatan dan bertindak menghubungi APMM.- BERNAMA