Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Daripada membuang masa mendesak penjelasan berhubung isu Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), lebih baik Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab isu yang dibangkitkan oleh Armada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung skandalnya.

Presiden PPBM itu perlu menjawab terlebih dahulu tuduhan Exco Armada PPBM, Mohamed Hafiz Azhar mengenai skandal Nika Ghee dan harta kekayaan kaum keluarganya.

“Saya cabar, sekiranya benar dia (Muhyiddin) mahu jadi pemimpin bermaruah, jawab dulu tuduhan yang dikemukakan Exco Armada Bersatu, Mohamed Hafiz Azhar mengenai skandal Nika Ghee dan harta kekayaan kaum keluarganya,” Puad dipetik berkata.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata jika gagal menjawab persoalan skandal yang terpalit, Muhyiddin tidak layak menyentuh isu DoJ dan berterusan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kalau dia tak mampu jawab, dia tidak layak menyentuh isu DOJ dan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta 1MDB,” katanya.

Mohd Puad berkata, beliau menganggap Muhyiddin hanya menangguk di air keruh dengan menggunakan kenyataan DOJ untuk memfitnah Perdana Menteri.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Muhyiddin menggunakan isu DoJ sebagai bahan menyerang pemimpin negara.

Baru-baru ini, DoJ mengemukakan saman sivil terbaharu bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette