Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menunjukkan gambar krisis alam sekitar Pulau Pinang pada sidang media di Ibupejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 19 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa memungkiri janji memulihara hutan dan alam sekitar berikutan terdapat aktiviti pembersihan hutan di lebih 30 kawasan bukit di negeri itu.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak tujuh bukit di’botak’ aktiviti yang dijalankan sejak 2014 lagi.

Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya telah memantau pentadbiran DAP dan 15 janji yang pernah diluahkan oleh Ketua Menterinya, Lim Guan Eng ketika mula mentadbir negeri itu pada 2008.

“Sebelum ini kita mendedahkan DAP di negeri itu gagal menunaikan kesemua janji itu tetapi rakyat negeri itu tidak percaya dan menuduh ia adalah serangan politik Gerakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 kerana kalah pada tahun 2008.

“Ini serangan politik yang berasas bukan bermotifkan PRU14. DAP perlu menjawab dakwaan aktiviti penggondolan bukit paling besar di tujuh bukit ini.

“Saya tidak pasti sama ada itu pemusnahan secara haram atau dengan kelulusan kerajaan untuk pembangunan ataupun pemilik tanah persendirian. Apa pun, Exco bertanggungjawab dan Guan Eng harus buka mulut dan menjawab mengenai isu ini segera,” katanya.

Beliau berkata, pengguna jambatan Pulau Pinang dapat melihat dengan jelas bukit-bukit yang ‘ botak’ itu.

Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bercakap pada sidang media mengenai krisis alam sekitar Pulau Pinang di Ibupejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 19 JUN 2017

Dominic dalam sidang media di Ibu Pejabat Gerakan di sini menyenaraikan tujuh bukit menjadi mangsa aktiviti pembersihan hutan secara besar-besaran, iaitu Bukit Kukus, Bukit Sungai Pinang, Bukit Kayu Ara, Bukit Elvira, Bukit di kawasan Air Terjun Titi Kerawang, Bukit Papan Teluk Kumbar dan bukit di kawasan Empangan Teluk Bahang.

Beliau berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Ahli Parlimen DAP Kepong, Tan Seng Giaw dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu yang menyentuh isu alam sekitar yang tidak dipedulikan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Dominic berkata, DAP sudah diberi peluang mentadbir negeri selama dua penggal dan harus mengambil sepenuh tanggungjawab menjelaskan keadaan sebenar dan menghentikan segera kegiatan itu sebelum bukit terbabit musnah sepenuhnya.

Katanya, Seng Giaw dalam laman Facebooknya menyatakan; “Kita mengelilingi Pulau Pinang hari ini. Kita melihat pantai berubah dan kehijauan Balik Pulau kurang. Kependudukan 850,000 memerlukan rumah dan kerja. Keutamaannya memelihara hutan dan kehijauan”.

Dominic yang juga Pengerusi Biro Komunikasi, Publisiti dan Maklumat Gerakan mendakwa Pulau Pinang mempunyai penduduk seramai 1.6 juta orang manakala di bahagian pulau sahaja lebih 850,000 orang memerlukan kediaman dan peluang pekerjaan.

Justeru katanya, beliau menyokong kenyataan Seng Giaw kerana dapat melihat dengan jelas bukit-bukit di Pulau Pinang ditarah tanpa dikawal.

“Saya katakan botak seperti rambut, dan fakta yang tidak boleh dinafikan mana-mana sahaja. Yee Cheu juga mengaku Bukit Kukus sudah botak.

“Semasa Guan Eng mengambil alih negeri, tidak ada satupun pembangunan rumah kos rendah sehingga hari ini. Pada tahun 2016 Jagjit Sigh umumkan rumah mampu milik. tetapi hanya mampu lihat sahaja kerana terlalu mahal.

“Masyarakat di negeri itu tidak dapat membeli rumah kerana mahal, walaupun lebih RM300,000 pinjaman tak dapat lulus dan tiada kuasa beli,” katanya.

Beliau juga mendakwa jatuh sehingga 82 peratus menyebabkan kini negeri itu menduduki di tangga keenam daripada tempat teratas suatu ketika dahulu.

Jelasnya, semasa pemerintahan Barisan Nasional di bawah pentadbiran Tan Sri Koh Tsu Koon, Pulau Pinang juga terkenal sebagai Lembah Silikon, namun hilang status itu sejak DAP mengambil alih dan banyak kilang multinasional menutup operasi. – MalaysiaGazette