Azalina Othman Said

BANGI – Akta 26, Akta Bantuan Guaman 1971 akan dipinda bagi memperkasakan Jabatan Bantuan Guaman (JBG), yang memberikan khidmat guaman dan nasihat undang-undang kepada golongan yang layak dibantu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, pindaan itu bagi membolehkan golongan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan eKasih boleh mendapatkan bantuan secara terus kepada JBG.

Pindaan itu akan dibawa ke sidang Parlimen, bulan depan.

“Kita akan ubah syarat kepada mereka yang ingin memohon untuk mendapatkan bantuan guaman. Kita hendakkan satu perkiraan yang lebih standard dengan golongan yang mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

“Contohnya kategori penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan eKasih. Satu perkiraan yang perlu dibuat bagi mereka yang layak,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Konvensyen Jabatan Bantuan Guaman Negara di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) hari ini.

Kali terkahir akta ini dipinda adalah pada Januari 2006.

Menurut Azalina, JBG perlu memainkan peranan yang lebih menyeluruh dan bukannya pada kes penceraian sahaja.

Dalam pada itu, satu tabung bantuan guaman juga akan ditubuhkan bagi membiayai pergerakan jabatan itu bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana daripada kerajaan.

“Bantuan ini perlu difokus pula kepada kes jenayah dan kes sivil juga.

“Ramai yang beranggapan bahawa bantuan ini adalah percuma, jadi sekarang kita nak tubuhkan tabung bantuan guaman sebagaimana kes sivil, duit kemenangan itu (dalam satu jumlah) akan dimasukkan dalam tabung berkenaan,” katanya lagi.

Tahun lalu sahaja, sebanyak RM23 juta disalurkan kepada JBG untuk mengendalikan kes.

Berdasarkan kepada statistik, setakat suku tahun pertama 2017, antara 50 peratus hingga 70 peratus kes yang dikendalikan JBG merupakan kes syariah yang kebanyakkannya adalah kes tuntutan cerai.

Kes sivil kekeluargaan yang juga majoritinya terdiri daripada kes penceraian sivil pula membentuk antara 25 peratus hingga 30 peratus. -MalaysiaGazette.