Filem Blok 404 menampilkan ramai pelakon popular tanah air.

KUALA LUMPUR – Tempoh 16 tahun bukan penghalang buat telefilem Blok 404 untuk dilupakan begitu sahaja oleh peminat drama bercorak cemas.

Ini kerana penangan Blok 404 ketika itu cukup luar biasa kerana walaupun diedarkan dalam bentuk video cakera padat (VCD) sekitar 2003, jualannya melebihi 500,000 unit.

Itu belum lagi dikira penjualan VCD secara haram yang dikatakan turut meraih angka jualan yang sama.

Justeru bagi mengembalikan fenomena itu, filem Blok 404 yang diangkat daripada telefilem itu telah memulakan proses penggambarannya sejak 8 Jun lalu.

Masih mengekalkan pelakon asal seperti Zamarul Hisham, Raja Azrey, Datuk Boy Iman dan Nabila Huda, filem arahan Azma Aizal Yusoof itu turut menampilkan beberapa wajah baharu seperti Fasha Sandha, Nadia Brian, Kamal Adli, Risteena Munim dan Amar Ashraf.

Bagaimanapun versi filem tidak mempunyai kaitan dengan telefilem berkenaan kerana sebuah cerita baharu dan bukan kesinambungan kepada kisah lama.

Malah beberapa watak baharu juga diwujudkan selain mengekalkan watak lama.

Telefilem Blok 404 mencetuskan fenomena 16 tahun lalu.

Penggambaran filem itu mengambil lokasi utama di Hulu Langat, Selangor  berakhir pada 21 Jun ini.

Walaupun filem ini berbajet rendah sebanyak RM700 ribu namun pembikinan filem ini menggunakan peralatan berteknologi tinggi seperti red-cam bagi menghasilkan sinematografi yang berkualiti selain menggunakan teknik CGI.

Blok 404 tampil dengan genre psiko-thriller yang berkisar tiga sekawan yang pulang dari sebuah pesta. Mereka melalui detik mencemaskan serta misteri pembunuhan ketika menginap di sebuah rumah penginapan.

Kalau telefilem, ia berlatarbelakang di sebuah asrama tapi filem ini berlatarkan di sebuah guesthouse. Selain itu banyak babak ganas dan aksi kejam seperti pembunuhan. – MalaysiaGazette