KUALA LUMPUR-  AirAsia diangkat Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia buat kali kesembilan berturut-turut pada majlis Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2017 di Musée de l’Air et de l’Espace, Lapangan Terbang Le Bourget di Perancis.

Menurut kenyataan oleh syarikat penerbangan tambang murah itu, anugerah berkenaan diterima oleh Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan yang berkhidmat selama 20 tahun dengan syarikat itu, diiringi duta AirAsia, David Foster serta pemain bola sepak Brazil, Roberto Carlos.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata rantau ASEAN mencipta rekod dunia dengan meraih gelaran juara dunia sebanyak sembilan kali.

“Kami mengambil gelaran juara dunia ini dengan serius dan akan berusaha untuk terus memberikan yang terbaik kepada tetamu serta pemegang saham kami.

“Sepanjang 15 tahun lalu, kami mencipta sebuah jenama yang hebat dan untuk 15 tahun akan datang, kami ingin memacu ke arah One AirAsia, sebuah syarikat penerbangan dengan identiti ASEAN.

“Kami juga ingin menjadi sebuah syarikat penerbangan digital yang menggunakan teknologi untuk meningkatkan lebih nilai,” katanya.

Dikenali sebagai ‘Anugerah Oscar Bagi Industri Penerbangan’, Anugerah Skytrax adalah penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan.-MalaysiaGazette