Home Nasional Berhati-hati di kawasan lintasan hidupan liar

Berhati-hati di kawasan lintasan hidupan liar

KUALA LUMPUR – Pengguna jalan raya agar berhati-hati di jalan raya semasa memandu di musim perayaan ini dan berikan perhatian kepada papan tanda Kawasan Lintasan Hidupan Liar, terutamanya pada waktu senja, subuh, malam dan keadaan penglihatan yang terhad.

Ia susulan beberapa insiden kes kematian hidupan liar dilanggar yang telah
dilaporkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak beberapa bulan ini.

“Memandu cermat bukan sahaja untuk memastikan semua pengguna jalan raya dapat tiba
ke destinasi masing-masing dengan selamat, ianya dapat juga mengelakkan beberapa
senario termasuklah kesesakan lalu lintas, kerosakan harta benda, kecederaan atau kehilangan nyawa (manusia dan hidupan liar) dan menyumbang kepada kepupusan hidupan liar di negara ini.

“Orang awam juga adalah diingatkan agar jangan sesekali cuba mengambil mana-mana
bahagian hidupan liar yang dijumpai telah mati kerana tindakan tersebut adalah salah di sisi undang-undang,” menurut Jabatan Perhilitan dalam kenyataan di sini.

Jabatan itu memohon kerjasama daripada orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian roadkill hidupan liar atau mempunyai maklumat berkaitan untuk menyalurkan maklumat tersebut melalui PERHILITAN Hotline 1-800- 88-5151 (Isnin-Ahad, 8 pagi-6 petang) atau e-aduan melalui laman web Jabatan www.wildlife.gov.my untuk pelupusan bangkai serta tujuan rekod dan pengumpulan data. – MalaysiaGazette