Home Nasional Aidilfitri wadah hormati kepelbagaian di Malaysia – Sultan Nazrin

Aidilfitri wadah hormati kepelbagaian di Malaysia – Sultan Nazrin

IPOH – hendaklah dijadikan platform untuk menghormati kewujudan kepelbagaian di negara ini dengan membuka pintu rumah, menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai agama, kaum dan budaya, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah sambutan Aidilfitri juga perlu membuktikan sifat persaudaraan umat Islam dan sifat kemanusiaan yang tidak bermusuh sesama insan.

“Pancarkan sifat persaudaraan dan sifat kemanusiaan bersama fajar Aidilfitri.

“Sambutlah Aidilfitri, dalam semangat menghargai nikmat kurniaan Ilahi serta berpandukan sunnah Rasul. Kunjungilah sanak saudara dan sahabat handai, di samping menerima kunjungan para tetamu dalam semangat ukhuwah dan persaudaraan,” titah baginda dalam perutusan Aidilfitri di sini, hari ini.

Sultan Nazrin turut berpesan bahawa dalam keriangan menyambut Aidilfitri terdapat hampir 60 juta umat Islam sedang menumpang tinggal di pusat-pusat pelarian di serata dunia.

“Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, insaflah! Di sekeliling kita masih terdapat golongan yang berada dalam kemiskinan, berkongsilah kemewahan rezeki yang dikurniakan Ilahi dengan memperbanyakkan amalan sedekah,” titah baginda.

Baginda turut mengajak umat Islam agar menghargai pengorbanan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai pihak untuk membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang serta meriah.

“Para anggota polis, tentera, bomba, penjara, imigresen, kastam; kakitangan hospital, sektor pengangkutan dan perkhidmatan, begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen.

“Semoga pengorbanan mereka diterima oleh Allah sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh, diberatkan timbangan amal ketika berada di Padang Mahsyar,” titah baginda. – MalaysiaGazette