Bangunan Kementerian Luar Negeri di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom berani mati yang berlaku di Kota Suci Mekah pada Jumaat lalu.

Kejadian itu berlaku berhampiran dengan Masjidil Haram.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini membidas serangan itu yang telah mencederakan seramai 11 orang termasuk lima pegawai polis Arab Saudi.

“Bagaimanapun, sehingga kini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam serangan tersebut,” kata kenyataan Wisma Putra hari ini.

Katanya, kerajaan Malaysia merakamkan takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Arab Saudi serta keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan itu.

Serangan pengganas berkenaan disifatkan lebih tragik memandangkan ia berlaku dalam bulan Ramadan.

Kementerian Luar juga menyifatkan keganasan sebagai ancaman global dan serangan di Mekah sekali lagi menunjukkan pentingnya masyarakat antarabangsa bersatu menanganinya.

Kementerian Luar dalam kenyataan sama berkata pihaknya melalui Konsulat Malaysia di Jeddah, Arab Saudi akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa.

Orang ramai boleh menghubungi Konsulat Malaysia di Jeddah untuk sebarang kecemasan atau maklumat lanjut, alamat da nombor telefon iaitu di Lot 241, Al-Mualiffin Street, Al Rehab District P.O Box 593 21421 Jeddah Arab Saudi dan di talian telefon 00966126727740. – MalaysiaGazette