Raymond Koh Keng Joo

KUALA LUMPUR – Polis menemui petunjuk baharu yang mengaitkan kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo dengan satu sindiket penyeludupan senjata api dan dadah di sempadan Malaysia-Thailand selepas menahan tiga anggota sindiket itu baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata barang-barang terbabit termasuk gambar dan nombor pendaftaran kenderaan dipercayai milik Koh ditemukan dalam pemeriksaan polis di rumah seorang daripada suspek terbabit.

“Kami menemukan nombor pendaftaran kenderaan ST 5515 D dan beberapa keping gambar lelaki Cina? kami percaya kumpulan ini mempunyai kaitan dengan kejadian penculikan Pastor Koh,” katanya pada sidang media Rumah Terbuka Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata polis kini menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek berusia antara 30 dan 60 tahun terbabit yang telah dibawa ke Bukit Aman bagi mengetahui kaitan mereka dengan kehilangan Koh.

Mengulas tangkapan itu, Khalid berkata kesemua mereka diberkas masing-masing di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Kangsar, Perak dan Kuantan, Pahang selepas polis menembak mati anggota utama sindiket di Baling, Kedah pada 17 Jun lalu.

Beliau berkata polis turut menahan isteri suspek utama bagi membantu siasatan menurut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Khalid berkata siasatan awal mendapati kesemua anggota sindiket terbabit mempunyai kewarganegaraan Malaysia dan Thailand, selain rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan senjata api.

Sebelum ini, polis mengklasifikasikan kes pastor itu yang dilaporkan hilang sejak Februari lalu sebagai kes dilarikan berikutan tidak melibatkan tuntutan wang tebusan.

Pada 17 Jun lepas, seorang penjenayah yang dipercayai aktif dalam aktiviti penyeludupan senjata api dan dadah dari negara jiran ditembak mati polis di kawasan persimpangan Kampung Weng Dalam, Baling, Kedah.

Dalam kejadian kira-kira 4.25 pagi itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang melakukan rondaan terserempak dengan kenderaan suspek yang berhenti di tepi jalan.

Suspek berusia 41 tahun itu diarah keluar namun dia bertindak melepaskan tembakan ke arah polis sebelum meluru keluar dari kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan lagi ke arah polis.

Polis membalas tembakan itu mengakibatkan suspek rebah dan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan dada.

— BERNAMA