LONDON – Google didenda sebanyak AS$2.7 bilion oleh Suruhanjaya Eropah selepas memutuskan syarikat itu telah menyalahgunakan kuasanya mempromosikan perkhidmatan perbandingan belanja di bahagian atas hasil carian.

Amaun itu adalah penalti terbesar yang dikenakan setakat ini terhadap syarikat yang dituduh memutarbelitkan pasaran.

Keputusan itu juga memerintahkan Google untuk menamatkan amalan anti-persaingannya dalam masa 90 hari atau menghadapi penalti selanjutnya.

Firma Amerika Syarikat itu berkata, ia akan membuat rayuan.

Walau bagaimanapun, jika gagal menukar cara ia mengendalikan perkhidmatan beli-belah dalam tempoh akhir tiga bulan, ia boleh dipaksa membuat pembayaran sebanyak 5.0 peratus daripada purata pendapatan harian syarikat induk Alphabet di seluruh dunia.

Berdasarkan laporan kewangan terkini syarikat itu, jumlah itu kira-kira AS$14 juta sehari.

Suruhanjaya itu mengatakan ia memberi peluang kepada Google untuk menentukan perubahan yang harus dilakukan kepada perkhidmatan beli-belah berbanding membuat ketetapan.

“Apa yang dilakukan Google adalah tidak sah di bawah undang-undang anti-persaingan di Kesatuan Eropah,” kata Margrethe Vestager, Pesuruhjaya Persaingan Kesatuan Eropah.

Tegas beliau, tindakan Google telah menafikan peluang syarikat-syarikat lain untuk bersaing dengan merit mereka dan melakukan inovasi dan paling penting ia menafikan faedah persaingan pengguna Eropah, pilihan asli dan inovasi.

Vestager berkata, Google telah menggunakan penguasaannya untuk mencari keuntungan dalam pasaran lain

Tambah beliau, keputusan itu kini boleh dijadikan penetapan yang menentukan bagaimana beliau mengendalikan aduan yang berkaitan dengan kemunculan Google berdasarkan kedudukannya, keputusan harga penerbangan dan penyenaraian perniagaan tempatan dalam alat cariannya.

Google sebelum ini mencadangkan bahawa Amazon dan eBay mempunyai pengaruh yang lebih banyak terhadap tabiat perbelanjaan awam dan sekali lagi mengatakan ia tidak menerima tuntutan yang dibuat terhadapnya.

“Apabila anda membeli-belah dalam talian, anda ingin mencari produkdengan cepat dan mudah,”

“Dan pengiklan ingin mempromosikan produk yang sama, sebab itu Google menunjukkan iklan belanja, menghubungkan pengguna kami dengan beribu-ribu pengiklan, besar dan kecil, dengan cara yang berguna untuk kedua-duanya.

“Kami dengan hormat tidak bersetuju dengan keputusan hari ini. Kami akan mengkaji semula keputusan suruhanjaya secara terperinci apabila kami mempertimbangkan rayuan,” kata jurucalap Google berhubung keputusan itu. – MalaysiaGazette