Mangsa banjir kilat di Alor Gajah dan Jasin ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara berikutan hujan lebat yang melanda sejak tengah malam tadi sehingga menyebabkan air sungai melimpah.

MELAKA – Jumlah mangsa banjir kilat di Melaka menurun kepada 149 orang setakat 10.30 pagi ini berbanding 200 orang, malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Effendy Ali, berkata mereka ditempatkan di empat pusat pemindahan iaitu di Balai Raya Bukit Tambun, Balai Raya Bukit Balai dan Balai Raya Kampung Pulau di Alor Gajah serta Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.

“Kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang melanda sejak tengah malam Isnin sehingga menyebabkan air Sungai Durian Tunggal, Sungai Melaka dan Sungai Tehel melimpah dan membanjiri lima kawasan dalam tempoh lima hingga tujuh jam kemudian.

“Lima kawasan yang dilanda bencana itu ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau di Alor Gajah serta Kampung Tanjung Laboh dan Kampung Parit Lampong di Jasin” katanya dalam kenyataan di sini.

Effendy, yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka berkata, 18 mangsa daripada tiga keluarga masih berada di Balai Bukit Tambun, 40 mangsa daripada enam keluarga berada di Balai Raya Bukit Balai dan 15 mangsa daripada lima keluarga berada di Balai Raya Kampung Pulau di Alor Gajah.

Beliau berkata manakala seramai 76 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di SK Tehel di Jasin.

Menurut beliau setakat ini cuaca dilaporkan baik dan keadaan hujan semakin reda. – MalaysiaGazette