Elizabeth Wettlaufer,

KANADA – Seorang jururawat yang menggunakan insulin untuk membunuh lapan pesakit tua di rumah penjagaan Ontario telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Elizabeth Wettlaufer, 49, mengaku bersalah awal bulan ini atas pertuduhan membunuh lima wanita dan tiga lelaki di dua rumah penjagaan antara tahun 2007 dan 2014.

Hakim telah menjelaskan kepada Wettlaufer bahawa hukuman itu umpama sebagai “bayang-bayang kematian” di atas tindakan yang dilakukan terhadap mangsa-mangsa, kata stesen penyiaran CBC.

Wanita itu telah diberitahu bahawa beliau tidak boleh dibebaskan.

“Saya telah menyebabkan kesakitan dan penderitaan dan kematian yang besar,” kata Wettlaufer selepas menerima hukumannya, sambil menambah: “Maaf adalah kata terlalu kecil. Saya sangat menyesal.”

Ramai saudara-saudara mangsa hadir di mahkamah bagi mendengar hukuman terhadap Wettlaufer.

Beberapa rakan mangsa turut berkumpul di luar mahkamah di Woodstock, Ontario bagi menyatakan kemarahan mereka.

“Saya fikir dia perlu menghabiskan sepanjang hidupnya di dalam kotak kecil dan merenung apa yang dilakukannya,” kata Laura Jackson, kawan Maurice Granat, salah seorang mangsa.

Arpad Horvath, yang bapanya juga dibunuh oleh Wettlauffer ketika berada dalam jagaannya, berkata, kenyataan bekas jururawat di mahkamah hanya membuatnya marah.

“Permintaan maaf seperti itu hanyalah satu pembaziran masa, kertas dan udara,” katanya.

Polis melancarkan penyiasatan ke atas kematian rumah kejururawatan pada bulan September.

Wettlaufer pula meletakkan jawatan dari Kolej Jururawat Ontario sehari selepas itu dan dia ditangkap pada bulan Oktober.

Pada bulan Januari, polis membawa enam tuduhan tambahan – empat tuduhan percubaan pembunuhan dan dua tuduhan serangan yang teruk – ke atas Wettlaufer untuk insiden lain yang berlaku di rumah penjagaan antara 2007-16. – MalaysiaGazette