Beijing- China Southern Airlines menjadi syarikat penerbangan pertama di China yang menggunakan perisian mengenal pasti identiti menggunakan raut wajah sebelum menaiki pesawat.

Syarikat penerbangan yang dikenali sebagai salah sebuah “tiga gergasi” di China itu meminta para penumpang di Lapangan Terbang Jiangying, Nanyang melakukan imbasan wajah sebagai ganti kepada pas masuk pesawat.

Semasa melakukan daftar masuk dan menaiki pesawat, penumpang akan disahkan melalui imej wajah mereka mengikut waktu sebenar berbanding sebelum ini yang mana proses mengenal pasti identiti adalah melalui gambar pada kad pengenalan atau pasport.

Proses imbasan hanya mengambil masa satu saat.

Menurut salah seorang penumpang pertama, Wong yang memberitahu akhbar People’s Daily, sistem terbaharu itu amat cepat dan menyenangkan.

“Saya membawa banyak beg dan hanya perlu berdiri di hadapan pintu masuk sebelum ianya dibuka.

“Saya tidak perlu mengeluarkan pas masuk pesawat seperti sebelum ini. Ia amat menyenangkan,” katanya.

Menurut syarikat penerbangan berkenaan, teknologi tersebut akan digunakan di lapangan terbang baharu Beijing dan tempat-tempat lain termasuk di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou pada 2018.

China Southern Airlines membina perisian tersebut dengan gergasi teknologi Baidu dan GRG Banking, pembekal ATM yang berpangkalan di Guangzhou.

Ia bergantung kepada teknologi biometrik untuk mengenal pasti identiti seseorang melalui raut wajah mereka.

Walaupun terdapat pengguna dalam talian yang membuat lawak terhadap perisian tersebut yang mengatakan ia tidak mampu mengenali wajah mereka yang mengenakan solekan atau melakukan pembedahan plastik, syarikat penerbangan tersebut berkata, tiada masalah untuk mengenal pasti wajah seseorang.

Jelasnya, teknologi tersebut mempunyai kadar ketepatan yang tinggi.

Selain China Southern Airlines, beberapa syarikat penerbangan di dunia turut menggunakan sistem berkenaan termasuklah British Airways di Lapangan Terbang Heathrow, Delta Airlines Amerika Syarikat dan syarikat penerbangan terbesar Finland, Finnair.- MalaysiaGazette