Ejen penghantaran, Shafiee Chin, 49, dibawa oleh dua pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang atas tuduhan mengedar kira-kira sejuta pil jenis Eramin 5 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 18 Jun lalu.

BALIK PULAU – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini hari ini, atas pertuduhan mengedar kira-kira sejuta pil Eramin 5 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas kira-kira dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Shafiee Chin, 49, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Pendaftar Mahkamah, Mohd. Alif Abdul Aziz.

Tertuduh yang juga ejen penghantaran didakwa mengedar pil Eramin 5 di Kompleks Kargo MAS LTAPP dekat sini, kira-kira pukul 4.30 petang pada 18 Jun lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri, Karthy G. Gasedev tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Ogos depan untuk sebutan semula kes selain mengarahkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin. – MalaysiaGazette