LONDON – Kerajaan Britain akan membenarkan pajakan oleh British Airways (BA) bagi pesawat-pesawat Qatar Airways dan anak-anak kapal bagi menampung mogok 16 hari yang dilancarkan oleh syarikat penerbangan itu.

Setiausaha Pengangkutan, Chris Grayling berkata, BA boleh memajak sembilan pesawat A320 dan 321 serta anak kapal selepas mendapat nasihat daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

BA berkata, syarikat penerbangan itu akan menggunakan pesawat dan anak-anak kapal Qatar Airways bagi mengurangkan pembatalan penerbangan dan gangguan penumpang.

Mogok 16 hari itu dilancarkan oleh Kesatuan Unite dijangka membabitkan 2,000 orang kakitangan.

Syarikat penerbangan itu sudah pun membatalkan beberapa jumlah penerbangan dari Heathrow atau bergabung dengan syarikat lain.

Bagaimanapun, pajakan yang dibuat dengan Qatar Airways bermakna operasi penerbangan tidak terjejas dengan mogok yang dilancarkan oleh Unite.

“Kami akan beroperasi 99.5 peratus daripada jadual kami,” kata jurucakapnya sambil menambah Qatar Airways akan beropetasi untuk beberapa penerbangan jarak dekat. – MalaysiaGazette