Home Ekonomi Dagangan MSM diunjur rendah

Dagangan MSM diunjur rendah

KUALA LUMPUR – Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka rendah dengan dagangannya dalam jajaran antara RM2,400 dan RM2,500 satu tan pada minggu depan sementara menunggu petunjuk baharu.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh, berkata, dagangan juga diunjur dalam keadaan lebih berhati-hati minggu depan berikutan kelemahan harga minyak mentah serta permintaan yang berkurangan selepas cuti Aidilfitri.

Seorang lagi peniaga berkata, pasaran akan memantau prestasi minyak soya serta pergerakan ringgit yang boleh menjejaskan permintaan dalam masa terdekat ini.

Sewaktu ditutup pada Jumaat, ringgit diniagakan mendatar pada paras 4.2920/2950 berbanding dolar AS.

Pasaran MSM didagangkan rendah ketika minggu singkat akibat cuti perayaan itu berikutan jangkaan peningkatan pengeluaran pada minggu-minggu akan datang.

Dalam pada itu, laporan jurunilai kargo Intertek Testing Services menyatakan eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-30 Jun susut 8.9 peratus kepada 1.19 juta tan daripada 1.31 juta tan yang dicatatkan pada 1-31 Mei lepas.

Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, bulan semerta Julai 2017 menokok RM7 kepada RM2,596 satu tan, Ogos 2017 naik RM18 kepada RM2,497 satu tan, September 2017 meningkat RM17 kepada RM2,459 satu tan dan Oktober 2017 bertambah RM13 kepada RM2,448 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 134,378 lot daripada 205,251 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 69,317 kontrak berbanding 235,339 kontrak sebelum ini. Di pasaran fizikal, Julai Selatan tidak berubah pada RM2,660 satu tan. – MalaysiaGazette