Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Prasarana Nasional Berhad (Prasarana) telah memulakan tempoh percubaan pengambilalihan perkhidmatan feri di Pulau Pinang berkuatkuasa hari ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengesahkan perkara itu berkata, tiada tempoh tertentu untuk percubaan ditetapkan sebelum pengambilalihan sepenuhnya secara rasmi oleh Prasarana.
Katanya, pihak kementerian  telah pun dimaklumkan mengenai pengambilalihan itu oleh Prasarana.
“Kami menyokong usaha Prasarana ini kerana kita yakin Prasarana mempunyai kapasiti dan pengurusan teratur serta profesional dalam mengendalikan perkhidmatan feri di negeri itu.
“Prasarana telah pun mengambil alih dry run (tempoh percubaan) bermula hari ini, bagaimanapun terma kontrak (segala urus tadbir feri) akan dibincangkan secara teliti kemudian,” katanya kepada pemberita di Univerisiti Malaya (UM) di sini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Galeri Dreams of the Red Chamber (Mimpi Mahligai Merah) yang menempatkan koleksi buku klasik Cina terunggul di dunia di Perpustakaan UM.
Kesemua koleksi sebanyak 6,000 buku dari lapan negara telah dikumpul oleh Alumni UM, Tan Sri Chan Kong Choi yang juga bekas menteri pengangkutan.
Menurut Tiong Lai, pihaknya juga mahu penambilalihan oleh syarikat peneraju utama pengangkutan awam negara itu dapat mempertingkatkan lagi perkhidmatan feri dari semasa ke semasa yang selama ini bermasalah disebabkan pengurusan dan kewangan.
“Saya yakin ia akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Pulau Pinang menerusi kemudahan feri yang menghubungkan tanah besar Butterworth dan Port Weld di Pulau Pinang,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai tempoh percubaan itu, beliau bagaimanapun berkata, perkara itu akan dibincang pihaknya bersama Prasarana kemudian.
“Kita nak terlebih dahulu melihat Prasarana mengkaji dan melihat sendiri sendiri perkhidmatan feri itu sebelum segala usaha  komprehensif diambil untuk mempertingkatkan mutunya,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette