KUALA LUMPUR – Wanita UMNO mahu sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan parti diterjemahkan kepada peluang sebenar, bukan sekadar angka yang disebut setiap kali persidangan.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, wanita tidak meminta peluang atas dasar belas kasihan, sebaliknya mahu dinilai berdasarkan kemampuan, integriti dan rekod kerja.
“Kita telah terlalu lama bercakap tentang sasaran 30 peratus. 30 peratus di atas kertas. 30 peratus di atas pentas.
“Tetapi apabila tiba masa nak tentukan calon, nanti dulu lah,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh perwakilan ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2026 di Dewan Merdeka, di sini hari ini.
Secara berseloroh, beliau turut memberikan peringatan tentang sasaran 30 peratus kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut berada pada sidang itu pagi ini.
Sehubungan itu, beliau memperkenalkan Laluan 30 Wanita UMNO bagi mengenal pasti, membina dan mempersiapkan bakat wanita untuk kepimpinan.
Menerusi inisiatif itu, setiap negeri diminta mengenal pasti calon berpotensi untuk Parlimen, Dewan Undangan Negeri, Dewan Negara, syarikat berkaitan kerajaan dan kepimpinan masyarakat.
“Kita cari mereka. Kita bina mereka. Kita uji mereka. Kita berikan mereka pengalaman. Kemudian, kita persiapkan mereka untuk memimpin,” katanya.
Noraini menegaskan, wanita tidak mahu seseorang dipilih semata-mata kerana dia wanita.
“Saya mahu apabila nama seorang wanita diangkat, bersamanya hadir kemampuan, integriti, rekod kerja dan keyakinan akar umbi,” katanya.
Beliau berkata, Pusat Kecemerlangan Wanita atau DELIMA akan diperkukuh untuk melatih bakat wanita dalam bidang kepimpinan dan politik, kecerdasan buatan serta digital, komunikasi dan media, selain ekonomi dan keusahawanan. -MalaysiaGazette
















