NEW YORK- Seorang doktor yang menembak mati seorang rakan setugasnya serta mencederakan enam yang lain sebelum membunuh diri sendiri di New York City semalam.

Doktor yang sama juga pernah menghantar sepucuk e-mel kepada sebuah akhbar tempatan menuduh para pegawai di hospital berkenaan telah menghancurkan kariernya.

Akhbar New York Daily yang menyiarkan salinan e-mel berkenaan menunjukkan Dr. Henry Bello telah menghantarnya beberapa jam sebelum kejadian tembak tersebut berlaku di Bronx Lebanon Hospital Centre.

Lelaki tersebut memakai kot putih pegawai perubatan memanjat tangga ke tingkat dua hospital berkenaan sebelum melepaskan tembakan kepada mangsa sebelum cuba membakar diri sendiri dan akhirnya menembak dirinya sehingga mati.

Dia telah mati apabila ditemui polis, kata Komisioner James O’Neill.

Sementara itu, dalam e-mel yang dihantar kepada pihak media, suspek berkata, pihak hospital menghalang usahanya untuk memperoleh lesen amalan perubatan di New York.

“Pada mulanya, saya diberitahu saya gagal memperoleh lesen kerana saya sering mengasingkan diri.

“Kemudian, ia disebabkan oleh perbalahan dengan jururawat,” kata Bello dalam e-melnya.

Katanya, beliau juga dituduh mengeluarkan ancaman kepada rakan sekerjanya, yang dianggap salah satu daripada aduan palsu yang dikenakan terhadapnya.

Kandungan e-mel itu juga dikatakan tidak menunjukkan sebarang ancaman kemungkinan berlakunya insiden keganasan.

Sementara itu, jurucakap polis New York, berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada suspek insiden tembakan itu ada menghantar e-mel kepada Daily News.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan bahawa penembak adalah bekas pekerja hospital dan siasatan mengenai kejadian masih diteruskan.-MalaysiaGazette