Mustafar Ali

KUALA LUMPUR – Ada taktik terbaharu pendatang tanpa izin (PATI) yang telah disenaraihitam tetapi menyusup masuk ke negara ini sebelum cuba menyertai program E-kad.

Mereka berbuat demikian bagi mendapatkan pas kerja yang sah, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali mendedahkan taktik itu bagaimanapun berjaya dikesan pihaknya apabila cap jari mereka diambil untuk semakan dan rekod telah mengesan identiti mereka yang sebenar dan status mereka yang disenarai hitam.

“Cubaan untuk mendaftarkan PATI yang tidak layak ini telah berjaya digagalkan dan sebanyaj 38 kes dikesan dengan 40 orang PATI dan dua orang majikan telah ditangkap,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mustafar, sepanjang tempoh bermula 1 Julai sehingga jam 8 pagi 3 Julai lalu Jabatan Imigresen Malaysia telah mengadakan sebanyak 181 operasi di seluruh negara.

“Seramai 5,278 orang telah berjaya diperiksa dan hasilnya seramai 1,509 PATI dari pelbagai warganegara telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

“Sebanyak 28 majikan turut ditahan dan 86 orang diberi notis untuk hadir memberi keterangan sepanjang tempoh,” katanya.

Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Bangladesh seramai 752, diikuti oleh warga Indonesia seramai 195, Myanmar seramai 117, Filipina seramai 50, Thailand seramai 45 dan bakinya adalah dari negara-negara lain.

Seramai 1,3141 merupakan PATI lelaki, 192 perempuan dan tiga orang kanak-kanak, katanya.

Tempoh pendaftaran Program E-kad telah tamat pada tengah malam 30 Jun 2017.

Selain itu, JIM juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan dipohon supaya tampil menyalurkan maklumat.- MalaysiaGazette