Lelaki berumur 42 tahun ditahan di rumahnya di Merlimau, Melaka kira-kira jam 6.30 pagi ini, bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan berhubung penyelewengan dalam dalam tender kerja-kerja bekalan dan perkhidmatan di Maktab Teknik PDRM Bakri.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang Penolong Jurutera Mekanikal Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar kerana disyaki terlibat dalam kes permintaan dan penerimaan wang rasuah daripada kontraktor dan pembekal Maktab Teknik PDRM itu.

Suspek seorang lelaki berumur 42 tahun ditahan di rumahnya di Merlimau, Melaka kira-kira jam 6.30 pagi ini, bagi membantu siasatan  berhubung penyelewengan dalam tender kerja-kerja bekalan dan perkhidmatan di Maktab Teknik PDRM Bakri.

Hasil siasatan SPRM, suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah hampir RM700,000.00 daripada kontraktor sebagai upah mendapatkan kerja-kerja bekalan dan perkhidmatan di Maktab Teknik PDRM Bakri bermula tahun 2014 sehingga 2016.

Dalam satu serbuan yang dibuat di rumah suspek, pihak SPRM menjumpai wang tunai berjumlah kira-kira RM32,000 yang disembunyikan di dalam tin biskut.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah barang-barang kemas dan sebuah kereta Toyota Prado yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM 30,000.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM 2009 yang mana boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai rasuah atau RM 10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias berkata, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette.