Home Nasional Selepas dompet, kasut hilang, tabung surau pula jadi mangsa

Selepas dompet, kasut hilang, tabung surau pula jadi mangsa

KUALA LUMPUR – Sebuah tabung kayu milik Surau Ittihadiyah, Seksyen 9 di Shah Alam, yang hilang pada 21 Jun lalu ditemui semula berhampiran di Stadium Bola Bukit Malawati, pagi semalam.

Tabung yang mengalami sedikit kerosakan itu dan wang sumbangan di dalamnya didapati hilang.

Ahli Jawatankuasa surau tersebut, Rusli Abu Yamin berkata, ketika kejadian tabung itu diletakkan di luar surau kerana ia adalah tabung mudah alih yang mana wang di dalamnya digunakan untuk perbelanjaan khas Ramadan.

“Surau itu memiliki kamera litar tertutup tetapi tabung berkenaan berada di luar pengawasan kerana ia tabung mudah alih.

“Dianggarkan ada RM200 dalam tabung itu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Rusli berkata, ia bukan kejadian kecurian pertama berlaku di surau berkenaan kerana sebelum ini ada jemaah juga kehilangan dompet dan kasut.

Berikutan kejadian tersebut, ahli-ahli surau mengadakan kawalan sepanjang Hari Raya bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang lagi. – MalaysiaGazette