Liu Jieyi

NEW YORK – Duta Besar China di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang akibat buruk sekiranya kuasa dunia gagal untuk mencari jalan meredakan ketegangan dengan Korea Utara, yang didakwanya boleh menyebabkan ‘keadaan menjadi luar kawalan”.

Liu Jieyi membuat kenyataan itu sehari selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bercakap melalui telefon dengan pemimpin China, Xi Jinping berhubung ancaman ujian peluru berpandu dan nuklear Korea Utara.

“Ketegangan pada masa ini adalah tinggi dan sudah pasti kita mahu ia reda.

“Sekiranya ketegangan terus meningkat … lambat laun ia tidak terkawal dan akibatnya akan membawa bencana,” katanya.

China sedang mengadakan rundingan program nuklear Korea Utara selepas rakan sekutunya melakukan dua ujian nuklear tahun lepas dan beberapa siri ujian peluru berpandu balistik.

Satu cadangan daripada Beijing untuk membekukan program ketenteraan Pyongyang ialah menggantung latihan ketenteraan Amerika Syarikat-Korea Selatan namun gagal mendapat sambutan.

Amerika Syarikat mempertahankan akan membuka perbincangan dengan Korea Utara jika republik itu menghentikan ujian nuklear dan peluru berpandu.

Menggambarkan krisis dengan Korea Utara sebagai “sangat, sangat serius”, Liu berkata “pihak-pihak lain” harus “lebih mudah menerima dan menyokong cadangan-cadangan ini.”

“Kita tidak boleh menunggu terlalu lama tanpa mengadaka dialog,” tambah beliau.

Pentadbiran Trump selama beberapa bulan lalu mendesak China untuk mengekang Pyongyang tetapi baru-baru ini presiden Amerika Syarikat itu mengisytiharkan usaha Beijing gagal. – MalaysiaGazette