Razali Ibrahim

PUTRAJAYA – Banyak kejayaan dicapai oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) masih belum diketahui umum dan  ia akan dikongsi sempena Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia sempena Hari Peneroka Felda 2017 Peringkat Kebangsaan pada 21 Julai ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, banyak kejayaan Felda sebelum ini tidak dihebahkan kepada umum dan ramai mengenalinya apabila berkaitan dengan kemelut kepimpinannya sahaja.

“Sebenarnya ada banyak kejayaan dan pencapaian yang tingi oleh Felda tapi kurang diketengahkan selain dari kemelut FGV yang melanda. Karnival ini, kita ambil masa tiga hari berbanding sebelumnya, untuk mengetangahkan segala pencapaian Felda,” katanya dalam satu sidang media petang tadi.

Menurut Razali, lebih 50 program telah disusun sepanjang tiga hari karnival berkenaan.

Turut menyertai Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia ialah Les Copaque Production Sdn. Bhd. melalui Upin Ipin yang akan membawa satu persembahan istimewa bertajuk Meneroka Felda Bersama Upin Ipin.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa tiga hari bagi program itu bagi mengenegahkan segala pencapaian Felda.

Sementara itu, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad berkata, seramai lebih kurang 300,000 peneroka akan terlibat dalam karnival tersebut.

Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette