Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mulai 21 Julai ini, ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menyelesaikan baki pinjaman pendidikan mereka menggunakan simpanan Akaun 2 di bawah Skim Pengeluaran Pendidikan tanpa had.

Penambahbaikan ini akan menggantikan syarat semasa pengeluaran pendidikan dari Akaun 2 yang mempunyai tarikh kuatkuasa perjanjian 1 April 2000, 2 Januari 2001 dan 17 Januari 2006.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, penambahbaikan ke atas polisi ini akan dilakukan setelah mengambil kira maklum balas ahli yang mengalami kesukaran untuk mengurang dan menyelesaikan baki pinjaman pendidikan menggunakan simpanan KWSP mereka.

“KWSP sentiasa sedia berusaha melakukan penambahbaikan bagi memberi manfaat kepada hampir 70,000 ahli yang masih belum menyelesaikan baki pinjaman pendidikan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, berkuatkuasa serta-merta ahli KWSP kini boleh mengemukakan borang permohonan pengeluaran 9B (AHL) untuk pengeluaran umur 50 tahun atau pengeluaran penuh/sebahagian umur 55 tahun dan 60 tahun satu bulan sebelum tarikh lahir masing-masing berbanding enam bulan sebelum ini.

Katanya, sebelum membuat sebarang pengeluaran, ahli-ahli digalakkan mendapatkan nasihat percuma di kaunter Khidmat Nasihat Persaraan di mana-mana 18 cawangan seluruh Malaysia berkenaan. – MalaysiaGazette