KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, Jabatan Veterinar telah mengambil langkah-langkah untuk mencegah penyebaran virus rabies yang disyaki disebarkan anjing liar dari negara Kalimantan, Indonesia.

Katanya, pihaknya telah mengambil tindakan pemberian vaksin kepada semua anjing peliharaan di perumahan masyarakat dalam kawasan radius 10 kilometer berlakunya jangkitan tersebut.

“Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Selangor (SPCA) juga membantu kita menangkap anjing-anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan dan sebagainya.

“Ketika ini, anjing liar dari Kalimantan, Indonesia dikatakan punca penyebaran virus rabies itu sehingga tular ke negara ini.

“Malah, langkah-langkah pencegahan pun telah dilaksanakan serta merta untuk mencegah penyebarannya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Polis Bantuan 2017 di Ibu Pejabat MIC Pusat di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran virus tersebut di negeri Sarawak baru-baru ini.

Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata, virus terbabit dipercayai berasal dari negara jiran selepas dua kes kematian dilaporkan.- MalaysiaGazette