Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien

SUBANG – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mahu pihak yang mendakwa kononnya ada transaksi melalui akaun bank peribadi Perdana Menteri kepada Ketua Pengarah Bahagian Perisikan semasa pilihan raya umum (PRU-13) lalu supaya menunjukkan bukti.

Menurutnya, jika terdapat perkara-perkara yang seolah-olah berkaitan dengan tuduhan tertentu mereka perlu membuktikannya dan biar siasatan dijalankan.

“Jika ada langkah untuk menyiasat, biarkan agensi berkaitan menyiasat. Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Mutiara Pernama, di Pangkalan TUDM Subang di sini petang tadi.

Hishamuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Sarawak Report apabila membuat pendedahan terbaru mendakwa ada transaksi kononnya melalui akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak menjelang PRU-13.

Laporan itu mendakwa Najib membayar RM7 juta kepada “Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (BSPP)” pada 8 April 2013, kira-kira sebulan sebelum PRU-13 yang diadakan pada 5 Mei 2013.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, beliau tidak dapat mengesahkan perkara itu.

“Jika saya mengesahkan atau tidak mengesahkan, mereka (pihak lain) akan menimbulkan beberapa isu lain kerana saya menteri pertahanan, jadi biarkan pihak ketiga menyiasat,” ujarnya.

Tambah beliau, pasukan tentera tidak pernah terlibat dalam apa jua perkara membabitkan politik. – MalaysiaGazette