Dr Amini Amir Abdullah
Dr Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kecewa dengan sikap sesetengah negara Arab berkonspirasi dengan Barat apabila secara bersama mendakwa ulama tersohor dunia, Prof. Dr. Syeikh Yusuf Qaradawi sebagai penyokong dan terlibat dengan keganasan.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, sebelum negara Arab dan barat berkenaan membuat tuduhan itu, wajar mereka menilai semula kandungan ucapan Dr. Syeikh Yusuf Qardawi di Dataran Tahrir, Mesir pada 2011 dan di sebuah masjid di Doha, Qatar pada 2013.

“Kita tahu dua ucapan ini mencetuskan kontroversi, tetapi perlu negara Arab menilai semula kandungannya dan memberi keadilan sewajarnya kepada ulamak dunia itu.

“Beliau menerima lapan anugerah peringkat antarabangsa kerana sumbangannya kepada agama, umat Islam dan kesarjanaan. Beliau juga pernah menjadi lembaga pemegang amanah Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford, United Kingdom.

“Bukunya mengenai Fiqh Zakat menjadi rujukan utama ulama seluruh dunia, di samping beliau sendiri diiktiraf sebagai Ulama Pakar Fiqh dan Usul Al-Fiqh serta dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia  pada 2009,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Menurut Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa, adalah tidak masuk akal apabila pihak berkenaan menuduh Dr. Syeikh Yusuf Qardawi terlibat dengan aktiviti gerakan kebangkitan Islam, Ikhwan Al-Muslimin ketika Arab Spring sungguhpun beliau berulangkali menafikan tidak lagi menjadi ahli gerakan kebangkitan Islam paling berpengaruh abad ini.

Malah katanya, ulamak itu sebenarnya menolak tawaran memegang jawatan penting dalam Ikhwan Al-Muslimin.

“Jika beliau didakwa sebagai menyokong keganasan, ini adalah dakwaan yang amat pelik. Ini kerana sejak 1980-an lagi beliau telah mengkritik sebarang aktiviti keganasan,” katanya.

Al-Qaradawi telah menulis mengenai bahaya puak pelampau dalam Islam menerusi karyanya, “Kebangkitan Islam: Antara Penolakan dan Ektremisme”.

Dalam tulisan itu, beliau mengkritik ketaatan yang membabi buta, melampau dan tidak toleran serta mengkritik sifat mazmumah (terkeji) seperti terlalu rigid dan tidak berhikmah menyebabkan kegagalan dalam metodologi dakwah, terlalu kasar dalam interaksi sosial, sombong dan bongkak dalam dakwah dan melakukan dakwah yang tidak selari dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Selain itu, Qardawi juga pernah mengkritik  Syiah, Salafi Jihadist dan Daesh apabila pada 2014 beliau mengeluarkan fatwa bahawa deklarasi ISIS mengenai Khilafah dan pemimpinnya Abu Bakar A-Baghdadi sebagai Khalifah adalah tidak sah dan terbatal dari semua sudut syariah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast