Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 31.5 peratus kepada RM153.3 bilion pada Mei 2017 berbanding RM116.6 bilion yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, eksport meningkat 32.5 peratus kepada RM79.4 bilion dan import sebanyak 30.4 peratus kepada RM73.91 bilion.

Ini bermakna lebihan dagangan sebanyak RM5.49 bilion untuk bulan ke-235 berturut-turut yang direkodkan sejak November 1997.

Berdasarkan bulan ke bulan jumlah perdagangan, eksport dan import berkembang masing-masing sebanyak 10.2 peratus, 7.5 peratus dan 13.3 peratus.

Menurut MITI, dari Januari-Mei 2017 jumlah perdagangan berkembang sebanyak 25.4 peratus kepada RM722.89 bilion manakala eksport berkembang sebanyak 23.3 peratus kepada RM377.96 bilion.

Import pula berkembang sebanyak 27.7 peratus kepada RM344.93 bilion dan lebihan perdagangan berjumlah RM33.03 bilion.

“Keseluruhan prestasi eksport bertambah baik pada bulan Mei lalu mencerminkan pertumbuhan positif eksport barangan pembuatan yang meningkat sebanyak RM16.43 bilion kepada RM66.61 bilion berbanding RM50.18 bilion dalam bulan yang sama tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan.

Eksport pula meningkat hasil peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum, kimia dan produk kimia, getah, produk besi dan keluli, mesin, peralatan dan bahagian-bahagian, serta pembuatan logam.

Produk E&E, bernilai RM28.55 bilion, membentuk 36 peratus daripada jumlah eksport, peningkatan 31.3 peratus dari Mei 2016. Eksport produk petroleum melonjak 88.2 peratus dan bernilai RM7.94 bilion, menyumbang 10 peratus daripada jumlah eksport.

Eksport barangan pertanian meningkat sebanyak 25.4 peratus kepada RM6.95 bilion, disokong oleh eksport tinggi minyak sawit yang mencatatkan kenaikan 25 peratus kepada RM4.2 bilion, disebabkan oleh Nilai Unit Purata (AUV) dan juga kuantiti yang tinggi.

Sementara itu, eksport barangan perlombongan meningkat 32 peratus kepada RM5.07 bilion, dipacu daripada eksport tinggi petroleum mentah.

Eksport ke ASEAN kekal kukuh meningkat 34.1 peratus kepada RM42.2 bilion dan menyumbang 27.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, disokong oleh peningkatan eksport produk E&E, produk petroleum, kimia dan produk kimia, mesin, peralatan dan bahagian-bahagian serta makanan diproses.

Perdagangan dengan China meningkat sebanyak 32.3 peratus kepada RM25.21 bilion pada bulan Mei, menyumbang 16.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia. – MalaysiaGazette