Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menerima cenderahati daripada Pengerusi The 11th International Symposium on Pediatric Pain 2017, Dr. Mary Cardosa (kiri) pada majlis Simposium Antarabangsa Pediatrik Kesakitan ke-11 di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan negeri Sarawak telah diarahkan mengambil langkah susulan bagi membendung wabak Japanese Encephalitis (JE) daripada merebak di negeri itu berikutan apabila budak lelaki berusia 7 tahun di Samarahan diuji positif untuk virus itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kes tersebut semalam dan setakat ini hanya satu kes sahaja dilaporkan.

“Mereka mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera untuk merawat dan mencegah JE,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Simposium Antarabangsa Pediatrik Kesakitan ke-11 hari ini.

Subramaniam menambah, negara pernah menghadapi wabak JE beberapa kali sebelum ini.

“Ia berlaku dari semasa ke semasa di Sarawak khususnya disebabkan gaya kehidupan rakyat negeri itu.

“Ini tidak bermakna kita terlepas pandang isu ini. Kita sudah mengambil langkah pantas untuk mencegah JE,” ujarnya. – MalaysiaGazette.