LIM GUAN ENG

PULAU PINANG – Parti DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar esok bagi membincangkan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya parti itu mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang didakwa tidak sah.

Sambil melahirkan rasa terkejut dengan arahan ROS itu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, mesyuarat tergempar itu dijangka diadakan di ibu pejabat DAP di ibu negara pada pukul 2 petang.

Menurut beliau, kesemua anggota CEC parti itu yang menang dalam pemilihan pada 2013 telah diarahkan hadir pada mesyuarat berkenaan.

“Kita terkejut dengan arahan ROS ini kerana pemilihan kali kedua telah diadakan pada 2013 seperti diarahkan pada 2012.

“Bagaimanapun ekoran arahan terbaharu daripada ROS ini, kita akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkannya dan menunggu surat rasmi daripada ROS,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, DAP perlu mengadakan pemilihan (CEC) baharu bagi membolehkan para perwakilan memilih 20 anggota jawatankuasa itu yang sah dan diiktiraf.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan pendaftaran DAP tidak akan dibatalkan kerana parti itu sah di sisi undang-undang.

Sementara itu,  Guan Eng turut melahirkan rasa hairan kerana arahan pemilihan semula tersebut dikeluarkan selepas empat tahun kontroversi pemilihan CEC berkenaan dibawa kepada ROS.

Malah, beliau mengakui arahan ROS berkenaan secara tidak langsung mengganggu persiapan parti iti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Ketika ini, kami mempunyai pelbagai pandangan terhadap arahan ini dan akan membuat kenyataan rasmi mengenainya selepas mesyuarat esok,” katanya. – MalaysiaGazette