KUALA LUMPUR – Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) yang berhasrat mahu menjadi parti komponen dalam Barisan Nasional yakin jumlah keahlian yang menyertai parti itu sehingga hujung tahun ini akan mencapai sasaran seramai 200,000 penyertaan.
Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah berkata, sejak diuar-uarkan kepada umum pada penghujung Ramadan lalu, parti tersebut mendapat reaksi positif daripada mereka yang belum menyertai mana-mana parti.
Menurutnya, sebanyak 5,000 permohonan untuk menjadi ahli parti itu akan diterima dari Sabah dan mereka merupakan pengundi atas pagar yang telah menyatakan hasrat berminat untuk menyertai parti itu.
Jelasnya, anggota Pekira kebanyakannya terdiri daripada peniaga serta golongan muda yang berumur di bawah 40 tahun.
“Sehingga hari ini kita dah capai 10,000 keahlian. Kita sasarkan sebelum Disember tahun ini, lebih kurang 200,000 ahli di seluruh negara.
“Kita tidak akan curi mana-mana ahli parti lain. Ahli kita ialah orang yang atas pagar dan tidak pernah menyertai mana-mana parti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ridzuan memberitahu, beliau berjanji parti berkenaan akan mewujudkan pelbagai program bagi meningkatkan kos sara hidup.
“Kita akan turun ke seluruh negara dan telah merangka program untuk mereka yang menjadi ahli,” tambahnya.
Ujarnya, pada masa ini parti yang diterajuinya itu masih lagi menanti jawapan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk kelulusan dan permohonan itu telah dihantar pada Mei lepas.
Katanya, meskipun belum diluluskan, namun parti itu telah mempunyai carta organisasi dan jawatankuasa yang terdiri daripada seorang timbalan presiden dan tiga naib presiden.
Ketika ditanya sekiranya parti tersebut tidak mendapat kelulusan, Ridzuan berkata, beliau bersama anggota Pekira akan berkumpul di hadapan bangunan RoS.
Mengulas lanjut, Ridzuan berkata, pengalamannya selama 10 tahun di dalam Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) akan diadaptasikannya di dalam parti baharu itu dalam membela nasib golongan usahawan.
“Pengalaman saya di dalam Ikhlas yang menangi beribu kes berkenaan peniaga akan saya curahkan di dalam Pekira.
“Tak pernah orang politik turun padang menyelesaikan masalah peniaga-peniaga. Kalau ada pun mungkin jumlahnya segelintir tetapi 95 peratus ia diselesaikan oleh NGO (badan bukan kerajaan),” ujarnya.
Dalam pada itu, Ridzuan turut berhasrat untuk bertanding di Selangor dan Wilayah Persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan kawasan yang akan ditandingi kecuali parti diluluskan ROS dan menerima restu daripada BN jika diberikan kerusi. – MalaysiaGazette
















