Shahrir Samad

JOHOR BAHRU – Dua wakil Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bakal ditempatkan dalam Lembaga Pengarah Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV).

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd. Samad berkata, kemasukan kedua-dua wakil Felda itu dalam Lembaga Pengarah FGV itu dibuat pada minggu lalu.

Persetujuan itu, menurutnya, dicapai hasil pertemuan beliau bersama pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob.

“Berdasarkan perbincangan bersama syarikat (FGV) dan pemangku Pengerusinya, Felda bersetuju meletakkan dua wakil dengan satu alternate (gantian) sebagai Lembaga Pengarah,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Johor Bahru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 1 di Kebun Teh di sini hari ini.

Felda sebelum ini beberapa kali menyuarakan permintaan mahu meletakkan tiga wakil mereka dalam Lembaga Pengarah FGV bagi membolehkan Felda turut bersama mempunyai pengetahuan dalam perjalanan syarikat itu memandangkan Felda merupakan antara pemegang saham terbesar FGV.

Beliau berkata, dengan perkembangan itu, ia menjadikan keseluruhan sebanyak 11 Ahli Lembaga Pengarah iaitu dua daripada Felda, tiga lantikan kerajaan dan enam lagi Lembaga Pengarah Bukan Bebas.

Tambahnya, dengan persetujuan itu juga, FGV tidak perlu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi menambah Ahli Lembaga Pengarah kerana jumlah itu masih termaktub dalam perlembagaan syarikat. – MalaysiaGazette.