Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diiringi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepong, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bersama para perwakilan melaungkan "Hidup UMNO" selepas ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kepong 2017 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melahirkan rasa lega melihat akar umbi sudah lagi tidak keliru dan kembali bersatu selepas melalui keadaan yang mencabar sejak dua tahun lalu ekoran kemelut dalaman parti tersebut.

Hishammuddin berkata, berbeza dengan dua musim mesyuarat bahagian-bahagian sebelum ini, musim mesyuarat tahun ini ahli-ahli akar umbi UMNO dilihat lebih fokus dan tidak lagi berada dalam dilema dengan kemelut yang melanda.

“Saya rasa agak lega kerana kalau kita bandingkan tahun ini dengan musim persidangan tahun lepas, pada ketika itu kita berdepan dengan pelbagai isu yang terpaksa diterangkan di peringkat akar umbi.

“Apa yang saya lihat di Wanita Kepong hari ini sekurang-kurangnya kekeliruan, kegusaran, kebimbangan dan ketidaktentuan tahun ini jauh berbeza dengan dua tahun sebelum ini,” kata Hishammuddin yang ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Kepong di Pan Pacific malam tadi.

Dengan berakhirnya ketidaktentuan dalam parti, Hishammuddin menggesa supaya ahli-ahli UMNO menumpukan sepenuhnya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Ini satu petanda yang baik dimana kita dapat buat perancangan untuk berdepan dengan pilihan raya dan untuk kita memastikan gerak kerja kita dan jentera kita bergerak,” gesa beliau.

Hishammuddin dalam ucapan perasmiannya juga turut berkongsi cabaran dan ujian yang terpaksa dihadapi sepanjang dua tahun kebelakangan ini ekoran kemelut yang melanda.

“Tetapi ditakdirkan dua tahun kebelakangan ini kita diduga dan diuji, saya masih ingat tahun lepas apabila kita mula turun nak merasmikan bahagian-bahagian, pada masa dak ketika timbalan presiden sudah pun keluar parti, naib presiden tinggal dua orang ketika itu, seorang lagi dah naik atas tinggal seorang naib presiden.

“Terpaksa turun ke bahagian-bahagian semasa nak bermesyuarat dalam keadaan ahli-ahli kita keliru, sama ada nak pilih semangat kawan atau semangat kepartian,” katanya.

Dalam keadaan tersebut, Hishammuddin berkata ahli-ahli UMNO berdalam di persimpangan tidak tahu memilih sama ada kawan atau parti.

“Keliru dan berada di persimpangan nak buat pilihan kawan atau parti dan kita ingatkan kepada mereka.

“Saya tidak boleh nafikan ketika itu ada tanda tanya, kekeliruan, rasa marah pun ada di kalangan ahli-ahli kita namun akhirnya UMNO Johor sedar bahawa parti ini lebih penting daripada individu,” ujarnya.

Menurut Hishammuddin, ahli-ahli UMNO menyedari perjuangan sebuah parti bukan bergantung kepada seorang individu semata-mata tetapi lebih penting adalah menjaga kehormatan parti itu.

“Ahli-ahli kita di bawah mengerti bahawa jika tidak ada parti individu itu tidak penting.

“Kalau parti kita tidak dihormati, jawatan apa jua kita pegang dalam parti ini tidak ada makna dan nilai,” ujarnya.

Hishammuddin mengakui UMNO bukan sebuah parti yang sempurna tetapi mereka lebih baik jika dibandingkan dengan pembangkang yang tidak mempunyai hala tuju.

“Di luar sana perfect sangat ke, saya nak tanya Wanita Kepong yang pembangkang sekarang ini sudah ada hala tuju ke, nak pilih pemimpin pimpin negara kita pun tidak selesai lagi.

“Nak tentukan agenda masa depan anak-anak kita dalam konteks pendidikan pun tidak tentu lagi, manifesto mereka tidak selesai lagi,” terang beliau.

Bagaimanapun, Hishammuddin menegaskan sokongan daripada ahli-ahli UMNo sahaja tidak memadai untuk memenangi pilihan raya dan menggesa supaya jentera parti mendekatkan diri dengan rakyat dan memenangi hati mereka untuk menyokog UMNO dan Barisan Nasional.

“Kita tidak ada pilihan, kita akan berdepan pilihan raya tapi mood sebegini tidak mencukupi untuk menentukan parti kita menang, kita seronok kita sorak dalam dewan kita ini tapi yang berada dalam dewan ini sahaja tidak mencukupi untuk menentukan parti kita menang, kita kena yakinkan rakyat di luar sana.

“Mereka yang bukan ahli UMNO pun, sebab itu gerak kerja kita melalui manual PRU14 menjurus kepada mendekati pengundi tidak kira sama ada mereka ahli UMNO, wanita atau pun parti asas kita itu sendiri, parti komponen lai perlu dilibatkan secara inklusif, saya ucap tahniah kepada pimpinan wanita kerana JR (Jalinan Rakyat) selama ini telah memainkan peranan cukup penting,” katanya. – MalaysiaGazette