SEGAMAT – Seorang kanak-kanak perempuan dua tahun ditemukan mati dengan beberapa kesan lebam di belakang badan dan kepala di sebuah bilik sewa di Jalan Ros dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata ibu dan abang kanak-kanak berkenaan yang masing-masing berusia 40-an dan 22 tahun ditahan hari ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak perempuan itu ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya di bilik sewa keluarganya di tingkat tiga premis rumah kedai kira-kira jam 1 pagi.

“Kedua-dua mereka ditahan sejurus membuat laporan polis berhubung kematian kanak-kanak itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, kira-kira jam 6 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata wanita berstatus ibu tunggal itu mendakwa berpesan kepada anak lelakinya yang lembam supaya mengawasi mangsa sebelum keluar menjalankan urusan ke bandar Segamat.

Raub berkata apabila ibu mangsa pulang ke rumah, wanita yang tidak bekerja itu melihat anak perempuannya terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum meminta bantuan jiran berhampiran menghubungi pihak hospital.

“Kanak-kanak itu dibawa ke wad kecemasan hospital namun dipercayai meninggal dunia sebelum diberikan rawatan.

“Ketika pemeriksaan lanjut, pihak hospital menemui beberapa kesan lebam di belakang badan dan kepala mangsa,” katanya.

Menurut beliau, polis akan mendapatkan perintah reman ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret di sini, esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA