Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin. foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad digesa agar berhenti daripada memalukan dirinya sendiri.

Ia berikutan kenyataannya yang sanggup mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri jika kerajaan tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Dr Mahathir dilihat terlalu terdesak untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak sehingga beliau menyokong Anwar yang pernah disumbatnya ke penjara.

Menurutnya, perbuatan Dr Mahathir itu telah membuktikan bahawa beliau merupakan tokoh ‘U-Turn’ terbilang di dalam negara.

“Tindakan ini dipertahankan oleh seluruh kepimpinan dan ahli UMNO walaupun rakyat dilihat kurang senang.

“Inilah hakikat pedih yang perlu ditelan oleh seluruh rakyat Malaysia melihat negarawan yang mereka sanjung dan pertahan selama ini sanggup menampilkan sifat yang terlalu peribadi, penuh dendam dan hilang arah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, Pemuda UMNO Kedah percaya apa yang dilakukan oleh Dr Mhathir adalah salah satu tindakan untuk membentuk pasukan “defensif” bagi menghadapi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Pemuda UMNO Kedah cabar Tun M utk menghadapi RCI ini dgn telus. Beliau tidak perlu menekan “butang panik” sehinggakan sanggup “U-Turn” dgn keadaan yang paling tidak bermaruah,” ujarnya.

Tambah beliau, Pemuda UMNO Kedah yakin, “pakatan dendam” yang cuba direncanakan oleh Dr Mahathir tidak akan memberi kesan terhadap keyakinan rakyat sebaliknya, mereka mahu mendengar kebenaran sebenar, walaupun episod telah berlangsung terlalu lama.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy turut menasihatkan Pakatan Harapan agar mereka menyelesaikan isu “Kepimpinan Perdana” dan terus memperjuangkan isu rakyat “secara benar” dan bukan terus menyerang peribadi. – MalaysiaGazette