Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Mohammad Afdhaluddin Ismail

KOTA TINGGI – Pengesahan Kementerian Kesihatan berhubung punca kematian pelajar
tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi, 11, disebabkan jangkitan kencing tikus membuktikan tiada unsur dera berlaku di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar.

Dengan laporan daripada kementerian itu juga, kejadian yang menimpa Mohamad Thaqif Amin dianggap selesai, kata pengetua madrasah berkenaan, Mohammad Afdhaluddin Ismail.

Bagaimanapun, katanya, pihak madrasah akan sentiasa memberikan kerjasama kepada Kementerian Kesihatan atau mana-mana pihak sekiranya pemeriksaan mahu dijalankan di pusat tersebut.

“Syukur kehadrat Allah SWT kerana kes ini dianggap selesai selepas kenyataan perubatan menunjukkan kebenarannya. Namun, pada masa sama kami menzahirkan kesedihan di atas penyakit yang menimpa Allahyarham,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kedudukan pembantu warden yang didakwa terlibat dalam insiden yang menimpa Allahyarham Mohamad Thaqif Amin yang kini digantung tugas sejak 21 April lalu, hanya akan dibuat sebaik kes itu selesai sepenuhnya.

Pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, yang meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 26 April lalu disahkan mengidap penyakit kencing tikus (Leptosiprosis).

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam,berdasarkan laporan bedah siasat menerusi sampel tisu dan darah Allahyarham yang diambil pada hari sama pelajar itu meninggal dunia.

Menurutnya, akibat jangkitan itu, berlaku perubahan warna kulit dan kegagalan organ untuk berfungsi. – MalaysiaGazette