KUALA LUMPUR – AirAsia menawarkan tambang termasuk semua serendah dari RM256 dari Kuala Lumpur ke Shenzhen dan RM257 dari Kota Kinabalu ke Shenzhen sempena sambutan ulang tahun ke-10 ke destinasi itu.

Tempahan boleh dibuat di airasia.com dari 17 hingga 23 Julai 2017 untuk tempoh perjalanan mulaiĀ 19 Julai hingga 24 November 2017.

AirAsia memulakan operasinya ke destinasi itu pada 15 Julai 2007 dengan penerbangan terus dari Shenzhen-Kuala Lumpur dan Shenzhen-Bangkok, seterusnya memperkenalkan perjalanan udara tambang rendah di Shenzhen.

Dalam tahun yang sama, AirAsia juga menambah laluan Shenzhen-Kota Kinabalu.

Sehingga kini, AirAsia menawarkan 35 penerbangan mingguan dari Shenzhen ke Asia Tenggara.

AirAsia berkata, pada tahun ini juga, purata laluan dari Shenzhen mencatatkan prestasi melebihi penumpang 85 peratus, menjadikan AirAsia sebuah syarikat penerbangan asing utama dari segi kekerapan penerbangan dan kapasiti penumpang di Shenzhen.

Sejak penerbangan sulungnya, AirAsia telah membawa 4.3 juta tetamu masuk dan keluar ke Shenzhen, seterusnya meningkatkan trafik para pelancong tempatan dan antarabangsa ke bandar tersebut.

Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad berkata, syarikat penerbangan itu akan terus menambah hubungan ke Shenzhen dengan memperkenalkan penerbangan terus ke Langkawi – salah satu hab utama kami di Malaysia bermula pada 9 Ogos 2017. – MalaysiaGazette