Akmal Saufi Mohamed Khaled

JOHOR BAHRU – Anak Menteri Besar Johor, Akmal Saufi Mohamed Khaled menafikan laporan sebuah laman web milik parti DAP yang secara langsung menuduh beliau cenderung dan telah menyertai parti pembangkang di Malaysia.

Akmal Saufi yang merupakan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Johor Bahru menegaskan, laporan itu tidak benar sama sekali kerana beliau masih menjadi ahli UMNO malah terus bergiat berusaha melaksanakan objektif penubuhan parti itu.

Sehubungan itu, hasil perbincangan bersama peguamnya, satu surat kepada parti politik yang memiliki portal tersebut dikeluarkan bagi menurunkan laporan tidak bertanggungjawab itu dan meminta maaf secara terbuka dengan kadar segera.

“UMNO sebagai sebuah parti telah banyak berbakti kepada negara ini terutama di tempat kelahiran saya, Johor Bahru. Untuk meneruskan bakti tersebut, ia perlu dilestarikan dengan keterusan bakti dari ahli generasi baharu dengan tunjuk ajar dan hikmah ahli-ahli yang lebih berpengalaman.

“Jadi, mana mungkin saya akan berpaling tadah kepada amanah dan tanggungjawab ini?Mendepani dunia yang makin mencabar, hasrat berbakti inilah yang saya bersama sahabat-sahabat dalam parti bawa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bilangan ahli UMNO segenerasi dengannya juga terus bertambah walau sebenarnya mereka tidak perlu dan tidak gemar mendabik dada dengan bangganya seperti parti tertentu kerana bukan cara mereka sebagai orang bermaruah bercakap besar.

“Kami sedar cabaran yang akan dihadapi negara kini bukan terhad dalam soal keharmonian agama dan bangsa dalam negara dan ekonomi setempat.

“Ia kini mengjangkau hubungan ekonomi antara negara, keupayaan penggunaan teknologi untuk proses inovasi, keselamatan rantau dan dunia, peperangan memerangi idealisme songsang dan ekstremis, perungkaian dan pemecahan struktur masyarakat dengan ledakan maklumat, hubungan komunikasi hiper, kelestarian sumber alam dan lain-lain lagi,” katanya.

Dan dalam setiap perkara ini, Akmal Saufi berkata, UMNO terus peka dan berusaha mencari penyelesaian yang terbaik buat rakyat dan negara.

“Jadi nasihat saya kepada parti pembangkang, usahlah sibuk hal saya, mencari peluang politik murahan dan membuat tuduhan semberono. Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Paling tidak, tengoklah timeline Instagram saya sebelum buat kenyataan,” katanya. – MalaysiaGazette.

Comments are closed.