Home Nasional Dua pengusaha kebun didakwa beri rasuah

Dua pengusaha kebun didakwa beri rasuah

KUALA LUMPUR – Dua pengusaha kebun di Cameron Highlands dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Jenayah 2, Kuantan, hari ini atas empat pertuduhan merasuah pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekitar tahun 2015.

Tertuduh Law Hee Thiam, 38, dan Chan Kok Fong, 40, didakwa memberi rasuah kepada pegawai MKN supaya tidak mengambil tindakan merobohkan kebun yang diusahakan di atas tanah haram.

Law Hee Thiam dituduh memberi rasuah sebanyak RM15,000, manakala Chan Kok Fong didakwa dengan tiga pertuduhan iaitu memberi rasuah sebanyak RM20,000, menawarkan rasuah RM1,000 dan memberi rasuah sebanyak RM3,000 kepada pegawai MKN.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Dato’ Habibah Mohamed Yusof.

Hakim menetapkan denda sebanyak RM75,000 dan RM125,000 masing-masing kepada Law Hee Thiam dan Chan Kok Fong serta kedua-dua diarahkan supaya menjalani hukuman penjara selama sehari.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman.

Kes disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. – MalaysiaGazette