Grafik menunjukkan bagaimana pesawat Air Canada mendarat ketika empat pesawat lain sedang menunggu giliran untuk berlepas di Lapangan Terbang San Francisco. foto Agensi

SAN FRANCISCO – Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) sedang menyiasat bagaimana seorang juruterbang Air Canada cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco ketika terdapat empat pesawat lain sedang menunggu untuk berlepas.

Pesawat Airbus, A320 Air Canada dari Toronto dibenarkan untuk mendarat di landasan lapangan terbang sebelum tengah malam pada hari Jumaat, kata FAA dalam satu kenyataan.

Tetapi juruterbang penerbangan AC759 secara tidak sengaja mendarat di lapangan terbang selari dengan empat pesawat sedang menunggu untuk berlepas.

Pesawat Air Canada dianggarkan terbang di atas pesawat-pesawat di taxiway pada jarak kurang dari 30 meter, menurut ringkasan awal yang diterbitkan Selasa oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara Amerika Syarikat turut menyiasat bersama FAA.

Menurut rakaman audio kejadian itu, seorang juruterbang United Airlines didengar berkata; “Pesawat Air Canada itu terbang ke arah kami” menyedarkan pengawal trafik udara bahawa pesawat itu menuju arah taxiway.

Pengawal kemudian mengalihkan pesawat bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengundang bencana penerbangan terburuk seperti kejadian perlanggaran dua pesawat Boeing, B747 pada tahun 1977 di Tenerife, Kepulauan Canary.

“Pengawal trafik udara mengalihkan pesawat Air Canada ke lokasi sekitar dan selamat mendarat tanpa sebarang kejadian,” kata FAA.

FAA kini menyiasat jarak antara pesawat Air Canada dan kapal-kapal terbang lain yang berada di taxiway semasa kejadian tersebut. – MalaysiaGazette