Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam.

KUALA LUMPUR – Setiap pemimpin MIC yang dicalonkan sebagai individu berpotensi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) sedang dipantau pergerakan dan aktivitinya.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, parti itu sudah mengenalpasti dan menyenaraikan calon untuk PRU akan datang, lapor akhbar Malaysia Nanban.

“Langkah itu penting untuk memastikan sama ada mereka (calon) benar-benar diterima dan disokong rakyat khususnya komuniti India menjelang PRU 14.

“Walaupun MIC sudah memilih calon berpotensi, itu tidak bermakna peluang untuk mereka bertanding sebagai calon PRU 14 dijamin.

“Ini kerana sekiranya seseorang calon itu gagal mempamerkan prestasi penyampaian terbaik, maka MIC tidak teragak-agak menyingkir individu itu dan memilih calon lain yang lebih layak,” katanya pada majlis perjumpaan bersama masyarakat anjuran MIC Bandar Baharu Kulim, Kedah baru-baru ini.

Tambah beliau, MIC terpaksa mengambil pendekatan sedemikian untuk mengetahui setakat mana seseorang pemimpin sanggup berkhidmat kepada masyarakat berbilang kaum di kawasan Parlimen.

Katanya, adalah penting seseorang calon yang hendak diketengahkan sesebuah parti diterima rakyat secara terbuka.

“Sehingga itu, nama calon itu akan kekal dalam senarai tetapi bukan sebagai calon sah bertanding pada PRU14.

“Jika mereka boleh memenangi hati rakyat berbilang kaum, itu sau kejayaan untuk MIC dan boleh membawa semangat itu untuk menang sekurang-kurangnya enam kerusi Parlimen yang disasarkan kali ini,” ujarnya.

Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, MIC yakin menag kesemua enam kerusi Parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan untuk PRU 14.

Pada PRU 13, MIC menang empat kerusi Parlimen dan 5 kerusi DUN daripada 9 kawasan Parlimen dan 18 kawasan DUN yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette