Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Lebih 33,300 permohonan dari 126 buah negara luar telah diluluskan di bawah program Malaysia Rumah Kedua atau Malaysia My Second Home (MM2H) sehingga Februari lalu.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, mengikut angka sebenar, pihak menerima lebih sejuta permohonan namun tidak semua diluluskan.

“Kalau ikutkan memang 33,300 itu tidak cukup, kami mahu meningkatkan lagi penyertaan dalam program Rumah Kedua ini.

“Jika kita luluskan kesemua 1 juta permohoanan dengan mengambil kira kuantiti, ia akan memberi masalah kepada rakyat dan negara.

“Kita mengutamakan kualiti bukan kuantiti, sebab itulah menerusi program berkenaan menyumbangkan pendapatan berjumlah RM12.8 bilion setakat ini,” katanya selepas merasmikan bengkel MM2H di sini hari ini.

Pada majlis yang sama Mohamed Nazri turut menyaksikan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kementeriannya dengan Bank Of China buat kali ketiga selepas pertama kali dimeterai pada tahun 2012.

Mengikut pecahan negara, China mendahului peserta dalam program MM2H iaitu 8,714 orang diluluskan permohonan, diikuti Jepun dengan 4225 peserta, Bangladesh 3,546, United Kingdom 2,412, Iran (1,336) Singapura (1,295). Korea Selatan (1,266, Pakistan (973) dan India 890 pemohon diluluskan.

Dalam perkara berkaitan, Nazri mengakui inisiatif berkenaan bertujuan untuk melonjakkan ekonomi subsektor pelancongan seperti pasaran hartanah, kewangan, kesihatan, perbankan dan pendidikan.

“Penyertaan warga luar dalam program MM2H adalah satu keistimewaan yang disediakan kita tetapi mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan untuk layak.

“Memandangkan insiden keganasan yang melanda di peringkat global, kita sudah memperketatkan syarat dan aspek keselamatan perlu diutamakan supaya tidak berlaku kesilapan.

“Malah mereka hanya dibenarkan tinggal 10 tahun dengan kemasukan boleh diperbaharui dan mereka tidak boleh bekerja di sini kerana kita mengutamakan rakyat kita sahaja,” tegasnya lagi.

 

Pada masa yang sama peserta yang diluluskan perlu dipastikan supaya tidak menyalahgunakan keistimewaan  yang diberi menerusi Malaysia Rumah Kedua, katanya lagi.- MalaysiaGazette