Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang di setiap kawasan perlu menjadi sebuah organisasi yang boleh memimpin golongan petani supaya menjadi kelompok yang berdaya saing.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, golongan petani perlu dibimbing dalam menentukan hala tuju mereka dan tidak boleh dibiarkan sendiri.

Katanya, tanggungjawab itu perlu digalas oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan petani.

“Kalau setakat PPK bagi RM1000 atau RM2,000 kehidupan petani tidak akan meningkat setinggi mana.

“Mereka tidak boleh jadi senang, tak boleh jadi kaya, Petani itu perlu dibimbing untuk menjadi seorang yang berdaya saing dan maju,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tajuddin turut mengingatkan golongan petani supaya menjadi usahawan terhadap hasil pertanian mereka.

Katanya, langkah itu boleh diambil sekiranya petani dapat menyejuk-bekukan hasil pertanian masing-masing yang pengeluarannya boleh diguna pakai pada masa-masa tertentu.

“Sediakan bilik sejuk beku. Kalau tak boleh secara individu mungkin boleh buat secara berkelompok.

“Di sini PPK boleh main peranan, koperasi pun boleh membantu menyediakan bilik sejuk beku supaya buah-buah boleh bertahan lama.

“Bila stok buah dah habis maka buah tertentu boleh di jual balik pada satu harga yang berpatutan,” ujarnya.

Malah tambah beliau, bukan sahaja petani tetapi nelayan juga perlu melakukan perkara sama.

“Kepimpinan diperingkat masyarakat petani juga kena berubah jika mahu melihat petani moden pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette