Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berucap pada Majlis Pelancaran Bengkel Nasional Malaysia My Second Home dan MoU diantara Kementerian Pelancongan dengan Bank of China di Pusat pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 13 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan cukai pelancongan kini terpulang kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk melaksanakan di negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pihaknya sedang menunggu persiapan dan kesediaan rapi jabatan itu untuk melaksanakannya dan tiada sebarang tempoh masa tertentu ditetapkan.

“Itu terpulang kepada kastam, tarikh bila untuk melaksanakan cukai pelancongan kerana walaupun kita (kementerian) membuat dasarnya tetapi kutipan akan dilaksanakan oleh kastam sahaja.

“Sebelum ini, selepas Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan itu diterima, Kabinet meminta kalau boleh melaksanakannya pada Julai ini apabila akta itu sudah diwujudkan pada Mac lalu.

“Kita perlu ingat bahawa ini bukan letak meja ditepi pintu dan kutip cukai sebaliknya ia memerlukan mekanisme terperinci dan teratur, jadi terpulang kepada kastam bila dia nak laksanakan kutipan itu, pergi dan tanya dia,” katanya.

Terdahulu Mohamed Nazri merasmikan Bengkel Program penyertaan Malaysia My Second Home (MM2H) dan Memorandum Persefahaman bersama Bank Of China di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini hari ini.

Pada perkembangan sama, Mohamed Nazri mengalu-alukan persatuan pengusaha-pengusaha pelancongan di negara tampil berjumpa dengannya untuk mendapatkan penjelasan terperinci mengenai cukai pelancongan daripada membesar-besarkannya di media.

Katanya, cukai pelancongan yang sudah dijadikan akta akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara dan bukan secara berasingan mengikut kehendak negeri tertentu.

“Ini sama seperti Cukai Barangan dan perkhidmatan (GST) apabila diperbahaskan di Parlimen ada bantahan menerusi himpunan besar tetapi kemudian ia menjadi undang-undang tidak boleh dihalang selepas dilaksanakan serentak seluruh negara.

“Kalau kastam bersedia ada kemungkinan pada September, Oktober kalau tidak ada peluang pada November atau pun Disember tahun ini, terpulang kepada kastam untuk mengutip cukai tersebut.

“Yang pasti kementerian memerlukan cukai ini untuk menambah pendapatan dan paling utama mempromosikan industri pelancongan,” katanya lagi.

Jelas beliau, pengurangan bajet Kementerian Pelancongan daripada RM200 juta kepada RM110 juta ketika ini mengekang perbelanjaan memperhebatkan promosi dan pengiklanan.

“Kita tidak diberi keutamaan seperti Kementerian Pertahanan, Kemneterian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan, bajet rendah, jadi perlulah menjana pendapatan sendiri dengan mengiklankan produk kita.

“Untuk itu cukai pelancongan ini sangat diperlukan. Jika melihat jiran kita Indonesia sebagai contoh membelanjakan AS$300 juta dolar untuk mempromosikan pelancongannya serta dunia.

“Jika kita tidak belanja wang, negara-negara jiran kita Singapura, Thailand dan Vietnam akan ‘merampas’ pelancong kita, inilah persaingan yang perlu kita hadapi, kita tidak boleh tunggu dan beli dalam keadaan sebegini,” ujarnya. – MalaysiaGazette